3.5) Cara Memupuk Semangat Perpaduan Dalam Kalangan Masyarakat 




(surah Al-Hujuraat:11)

Antara usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai dengan slogan “Negara Bersih Rakyat Sihat”. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.

Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui amalan kunjung-mengunjung yang dilakukan akan dapat mengeratkan ikatan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai dan Hari Krismas merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di samping itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan apabila kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh

Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan juga boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.

Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai.


Image result for Cara Memupuk Semangat Perpaduan Dalam Kalangan  Masyarakat

Langkah-langkah memupuk perpaduan kaum di Malaysia
Pada hemat saya, sudah tentu rakyat Malaysia tidak asing lagi dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-51, iaitu “Perpaduan Teras Kejayaan”. Jika slogan tersebut dibaca dengan teliti, slogan tersebut sebenarnya membawa mesej bahawa masyarakat yang hidup bersatu-padu dapat menjana kejayaan dan kecemerlangan negara. Sebagai pembuka bicara, kita sudah sedia maklum bahawa perpaduan dan keharmonian merupakan elemen yang sangat penting dalam mengekalkan kesejahteraan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini. Tanpa perpaduan, nescaya kemerdekaan dan kedaulatan negara yang telah diperoleh sejak sekian lama akan hilang dalam sekelip mata. Persoalannya, bagaimanakah kita dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini?
Sebagai langkah pertama dalam membentuk perpaduan, rakyat haruslah bergaul dan memupuk persefahaman antara kaum. Dalam keadaan tersebut, ibu bapa perlulah menerapkan nilai-nilai perpaduan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Persis kata mutiara, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Mereka digalakkan berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan membawa anak-anak mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada anak-anak dan membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai jenis kaum dan etnik. Satu lagi cara yang dapat diambil oleh ibu bapa ialah bergaul dengan anak-anak dalam pelbagai bahasa, misalnya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa ibunda. Apabila golongan muda menguasai pelbagai bahasa, mereka dapat berkomunikasi dengan rakan yang berlainan bangsa dengan mudah. Pokoknya, nilai-nilai perpaduan dan permuafakatan hendaklah didedahkan kepada generasi muda sejak awal lagi agar jiwa perpaduan dalam diri mereka dapat berkembang dengan sempurna.
Seterusnya, institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan semangat bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah yang dapat diambil adalah dengan memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini, guru-guru hendaklah membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan projek-projek sekolah, seperti kajian Sains, persembahan maklumat, dan sambutan-sambutan dalam sekolah. Guru-guru juga haruslah membahagikan kedudukan pelajar dengan sempurna untuk menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya sesama kaum sahaja. Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut, guru tidak boleh mencetuskan isu-isu sensitif semasa mangajar, misalnya dengan mengagung-agungkan warisan budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Pendek kata, pelajar-pelajar dan guru-guru perlulah bekerjasama “bagai aur dengan tebing” demi menzahirkan semangat perpaduan di peringkat sekolah.
Di samping itu, pelajar-pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dasar tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2013. Langkah bijak tersebut diharapkan dapat menyedari anak-anak bangsa tentang kesan akibat kurangnya perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Antaranya, dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan semasa penjajahan British telah menyukarkan usaha menyatupadukan kaum menjelang kemerdekaan negara. Pada masa yang sama, kita tentulah tidak mengharapkan peristiwa 13 Mei 1969 berulang dan menggugat kestabilan tanah air. Oleh itu, pelajar perlu mengenali sejarah tanah air agar dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri individu. Ahli falsafah terkemuka, iaitu George Santayana juga menyatakan bahawa “sesiapa yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya”.
Pada masa yang sama, rakyat Malaysia hendaklah menghindari sebarang tindakan yang dapat mencetuskan provokasi kaum. Hal ini adalah kerana tindakan-tindakan yang dapat membangkitkan isu perkauman dapat mengakibatkan pertelingkahan antara kaum, seterusnya menjejaskan keamanan negara. Misalnya, Wee Meng Chee ataupun lebih dikenali sebagai Namewee, iaitu seorang pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Taiwan, telah menimbulkan api kemarahan rakyat Malaysia dengan karyanya yang berjudul “Negarakuku”. Lagu “rap” yang diubahsuai daripada lagu Negaraku berbaur unsur-unsur yang menghina Perlembagaan Negara dan dasar-dasar pentadbiran negara. Sekiranya banyak rakyat Malaysia yang bertindak sedemikian, ke manakah akan perginya perpaduan negara dan maruah negara? Sesungguhnya, walaupun kita diberikan kebebasan bersuara, kita janganlah mengambil kesempatan tersebut untuk mencetuskan isu-isu sensitif yang dapat menghancurkan keharmonian dan kedaulatan negara.
Seterusnya, masyarakat setempat juga memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini. Mereka sewajarnya menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun Tetangga, dan kempen Bulan Kemerdekaan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Melalui aktiviti-aktiviti seperti gotong-royong dan Program Rukun Tetangga, selain daripada menjamin kesejahteraan hidup warga setempat, rakyat juga berpeluang berkomunikasi dan menghulurkan bantuan kepada jiran tetangga yang berlainan bangsa. Bak kata pepatah, “serampang dua mata”. Smabutan-sambutan khas seperti Hari Keluarga dan Kempen Bulan Kemerdekaan dalam pelbagai peringkat pula dapat membuka mata rakyat jelata tentang adat resam dan budaya kaum lain. Program Hari Keluarga misalnya, menawarkan rencaman jenis permainan dan aktiviti bersuka-ria yang memerlukan perancangan teliti dan kerjasama yang erat antara ahli keluarga ataupun jiran tetangga. Sesungguhnya, masyarakat setempat tidak ketinggalan dalam memainkan peranan yang penting untuk melahirkan permuafakatan dalam kalangan masyarakat negara.
Kerajaan pula harus memainkan tugas penting untuk menggerakkan rakyat ke arah perpaduan yang jitu. Sebagai jentera pentadbiran negara, kerjaan perlulah berusaha menerapkan gagasan Satu Malaysia dalam kalangan rakyat. Namun, apakah gagasan Satu Malaysia sebenarnya? Gagasan Satu Malaysia yang diwara-warakan oleh Perdana Menteri Malaysia, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak ini bertujuan mewujudkan sebuah negara bangsa yang merangkumi persefahaman dan perpaduan yang utuh dalam kalangan warga Malaysia. Demi merealisasikan gagasan tersebut, kerajaan haruslah menganjurkan pelbagai kempen untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. Antaranya ialah pameran kebudayaan dan warisan masyarakat Malaysia. Langkah ini dapat menyemai persefahaman dalam kalangan rakyat berbilang kaum kerana mereka dapat mengenali dan menghayati budaya kaum lain dengan lebih lanjut. Kempen “Cintai Bahasa Kita” perlulah digiatkan dengan lebih cergas lagi untuk memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu. Hal ini adalah kerana bahasa kebangsaan merupakan wahana penting yang dapat memudahkan komunikasi antara rakyat. Kerajaan turut telah mengambil langkah menganjurkan Program Integrasi Nasional dalam kalangan pelajar sekolah. Program tersebut sebenarnya bertujuan untuk menerapkan semangat bersatu-padu dalam diri bakal peneraju negara. Tuntasnya, usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan perlu dimanfaatkan oleh rakyat dan bukannya “seperti kera mendapat bunga” agar perpaduan dan integrasi nasional dapat diwujudkan.
Sebagai intihanya, “bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi”. Usaha-usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini memerlukan sinergi dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi oleh oleh semua pihak, “seperti isi dengan kuku”. Janganlah mengizinkan sejarah hitam akibat kurangnya persefahaman dalam kalangan masyarakat seperti peristiwa 13 Mei 1969 berulang di negara ini. Bak kata mutiara, “bersatu teguh, bercerai roboh”. Oleh itu, marilah kita bergabung idea dan tenaga yang dihiaskan dengan sikap toleransi dan persefahaman yang kukuh demi mewujudkan integrasi nasional. Mulakanlah inisiatif-inisiatif tersebut ke arah Wawasan 2020 kerana “perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama”. Majulah bangsa demi negara!

Comments

Popular posts from this blog

5.0 & 6.0 Lampiran & Rujukan

2.0 ) Konsep Kejiranan Dalam Islam