2.0 ) Konsep Kejiranan Dalam Islam

2.0 KONSEP KEJIRANAN DALAM ISLAM







2.1   DEFINISI JIRAN




Jiran : orang yg tinggal berhampiran dgn rumah sendiri. (Kamus Dewan Pelajar)       
Neighbour:  A person or place in relation to others next or near to it. (Oxford Dictionary)

Suatu hari, datang seseorang kepada Rasulullah SAW dan bertanya:

“Ya Rasulullah, bagaimana aku ingin berbuat baik kepada jiran sedangkan aku
tidak mengetahui siapa jiranku?”. Jawab baginda, “Jiran kamu adalah 40 buah
rumah di sekeliling kamu. (tidak kira di kanan, kiri, depan mahupun belakang)”.
Malah Imam Ibn Hajar al- Haytami al-Makki menyatakan bahawa jiran itu
adalah satu qariah.




2.2 JENIS JIRAN






Jiran tetangga adalah orang yang tinggal berdekatan dengan kita. Di dalam Islam,  
jiran terbahagi kepada tiga jenis iaitu jiran tiga hak, jiran dua hak dan jiran satu hak.

Rasulullah SAW telah menyatakan dalam hadisnya bahawa jiran tetangga itu ada tiga jenis iaitu:

1.  Tetangga muslim yang ada hubungan keluarga baginya, maka dia mendapat
      tiga hak sebagai tetangga, hak sebagai orang muslim dan sebagai keluarga
      (kerabat).

2.  Tetangga muslim, baginya mendapat dua hak sebagai tetangga, dan hak
     sebagai seorang beragama Islam.

3.  Tetangga kafir, maka baginya mendapat satu hak sebagai tetangga.

Dalam sejarah dicatatkan bahawa Khalifah Umar al-khattab mempunyai seorang
tetangga Yahudi yang tinggal bersebelahan dengan rumahnya. Apabila beliau
menyembelih kambing, beliau sering memberikan sedikit daging kambing tersebut
kepada jiran yahudi tersebut.






2.3 HAK-HAK JIRAN




 Nabi Muhammad SAW menyatakan lagi dalam hadisnya:

"Tahukah kamu apa dia hak jiran tetangga itu?”

1.   Jika ia meminta  tolong kepadamu, Engkau akan menolongnya.

2.  Jika ia minta pinjaman, engkau akan memberikan pinjaman kepadanya.

3.  Jika ia memerlukan sesuatu, engkau akan memberikannya.

4.  Jika ia sakit engkau akan menziarahinya.

5.  Jika ia mendapat sesuatu kebaikan, engkau ucapkan tahniah kepadanya.

6.  Jika ia tertimpa bahaya, engkau turut sedih bersamanya.

7.  Jika ia meninggal dunia, engkau turut menghantar jenazahnya

8.  Jangan sekali-kali engkau meninggikan rumahmu sehingga menyekat angin untuk sampai ke rumahnya kecuali dengan izinnya.

9. Jangan mengganggu perasaannya dengan bau masakan kamu, melainkan kau akan  memberikan sedikit dari makanan tersebut.

10.  Jika engkau beli buah-buahan, berikan sedikit kepadanya.

11.  Jika engkau tidak mahu memberikannya maka hendaklah engkau memasukkan buah-buahan itu ke dalam rumah secara rahsia supaya tidak kelihatan olehnnya dan janganlah membiarkan anakmu memakan buah-buahan itu di hadapan anaknya, kelak anak jiran itu akan menangis mahukan buah tersebut.






2.4  ADAB-ADAB BERJIRAN







Dalil firman Allah s.w.t. bermaksud:


“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa berita, hendaklah kamu periksa kebenarannya, kerana takut kalau-kalau kamu mengenai suatu kaum tanpa pengetahuan, lalu kamu menyesal atas perbuatanmu.”

 (al-Hujurat:6)


Sehubungan itu, Islam menekankan umatnya melaksanakan adab-adab kejiranan dalam usaha menjaga hubungan sesama masyarakat, khususnya bagi masyarakat majmuk.
Antaranya saranan-saranan memuliakan jiran yang boleh diaplikasikan melalui kitab Bimbingan Mukmin karangan Imam Ghazali ialah:


1. Hendaklah seseorang itu memulakan memberi salam kepada jirannya.
 Sesungguhnya salam sangat besar hikmahnya di dalam mewujudkan hubungan, bahkan orang yang memulakan salam adalah jauh lebih baik daripada orang yang menerima salam. Menurut ajaran Islam adalah menjadi kewajipan kepada orang yang menerima salam untuk menjawab salam. Justeru menyedari pentingnya salam, bangsa Arab seringkali menggunakan ungkapan ` as salam qabla kalam' atau ucapkan salam sebelum berkata-kata.


2. Menziarahinya ketika sakit dan mengucapkan takziah ketika berlaku kematian dan melawati jenazahnya.
Hidup berjiran memerlukan sikap prihatin ke atas jiran sekeliling terutamanya dalam hal-hal sakit- demam, kematian, kenduri-kendara dan sebagainya. Amalan ini telah dilakukan oleh baginda s.a.w. di mana sejarah telah menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menziarahi kematian orang bukan Islam. Ini menunjukkan betapa Islam tidak melarang umatnya berbaik-baik sesama jiran meskipun berlainan agama.


3. Jangan terlalu banyak bertanya tentang hal ehwalnya.
Hidup berjiran perlu mengelakkan perbuatan yang boleh diumpamakan seperti `menjaga tepi kain orang' atau `menyibuk' untuk mengetahui selok belok kehidupan jiran, termasuklah rahsia sulit mereka. Namun demikian, ini bukan bererti menolak langsung tanggungjawab dan sikap prihatin tentang hal ehwal jiran seperti memantau keadaan rumah jiran semasa ketiadaannya, memastikan anak-anak jiran bebas daripada gejala sosial dan sebagainya.


4. Memaafkan segala kesalahan dan kesilapannya.
Hidup berjiran tidak dapat lari daripada perselisihan faham. Tambahan pula jika masalah berpunca daripada anak-anak sehingga membabitkan ibu bapa. Justeru itu, sebagai orang dewasa ibu bapa perlulah bersikap matang dan berbincang agar masalah yang berlaku tidak berlarutan.


5. Hendaklah menutup keaiban dan kecelaan yang berlaku pada dirinya.
Jiran yang baik adalah jiran yang menjaga maruah jirannya. Justeru itu hidup berjiran perlulah menjaga mulut daripada melakukan dosa mengumpat, fitnah, mengeji dan sebagainya. Bak kata pepatah Melayu `kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa' amat bersesuaian dengan saranan ini untuk diaplikasikan dalam kejiranan.


6. Jangan lalai memerhatikan rumahnya pada masa ia tiada di rumah.
Ini merupakan tanggung jawab jiran, terutamanya jika diamanahkan untuk memperhatikan keadaan rumahnya semasa ketiadaannya. Tambahan pula ada sebahagian jiran yang sanggup meninggalkan kunci rumahnya. Sehubungan itu kepercayaan dan amanah tersebut tidak sepatutnya dikhianati.


7. Sentiasa bersikap lemah lembut terhadap anak-anaknya dengan tutur kata yang baik.
 Sebagai orang dewasa kita hendaklah menunjukkan sikap dan akhlak yang baik kepada anak-anak kita mahupun anak-anak jiran. Ini kerana jika kita menunjukkan akhlak buruk kepada anak-anak jiran, kelak ia akan mempengaruhi anak-anak kita apabila mereka bergaul sesama mereka.


8. Sentiasa bersedia menolongnya ketika bencana menimpa dirinya.
Hidup berjiran juga mestilah bersikap `ringan tulang' terutamanya jika jiran ditimpa musibah. Amalan tolong menolong ketika susah atau senang adalah perbuatan yang dianjurkan Islam. Perbuatan menolong ketika senang juga merupakan amalan baik seperti kenduri-kendara, gotong-royong, rukun tetangga dan sebagainya adalah antara kaedah tolong menolong yang sangat berkesan untuk dilakukan.


9. Tidak melakukan sesuatu yang boleh menyakiti hati atau perasaannya.
Sebagai contoh, membuang sampah di pinggir rumahnya, membuat bising yang mengganggu ketenteraman kejiranan dan sebagainya. Perbuatan seperti ini mesti dielakkan kerana ia boleh merenggangkan hubungan kejiranan dan akhirnya memutuskan tali silaturahim, iaitu suatu dosa di dalam Islam.


10.Tidak terpengaruh dengan kata-kata orang lain yang memburuk-burukkannya.
Islam selalu menekankan agar kita menyiasat dahulu setiap perkhabaran kerana ditakuti ia adalah fitnah, apatah lagi terhadap jiran tetangga.



Comments

Popular posts from this blog

5.0 & 6.0 Lampiran & Rujukan